Seperti biasa, dia bangun seawal 5 pagi. Malamnya dia tidur lewat kerana menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya. Digagahkan juga badan yang lemah untuk bangun mengambil wuduk. ‘Tak apalah. Solat sunat tahajud pun cukuplah.’ Hatinya berbicara. Walau selewat mana pun dia tidur, dia tetap akan bangun awal untuk bersolat sunat jika mampu. Selepas selesai solat sunat, dia mencapai tuala pula sambil berlalu munuju ke bilik air untuk mandi. Selasai mandi tepat-tepat saja masuk waktu Subuh. Solat fardhu itu pun dilakukan sekhusyuk yang mungkin. Hatinya berkira-kira untuk membaca kalam Allah. Al-Quran di rak meja belajarnya ditatap dari jauh. Akhirnya hatinya memujuk diri supaya bangun mencapai kalam Allah itu. ‘Rohaniku tidak diisi dengan ayat-ayat Al-Quran Maghrib semalam. Aku mesti ganti balik!’ Begitulah hatinya memujuk diri tatkala rohani menjerit minta diisi.
Pukul 7 pagi dia mengambil keputusan untuk tidur sebentar dek kepenatan yang teramat sangat. Akhirnya puku 8.15 barulah dia tersedar setelah mendengar alarm telefon bimbitnya menjerit minta dimatikan. Segar juga badannya. Terus disarung pakaian ke kuliah. Langkah paginya ke kelas tidak kosong. Malahan diiringi dengan zikir memuji Allah di dalam hati. Dia berharap hari berjalan dengan lancar.
Proses pembelajaran pun bermula. Pensyarah mengedarkan kertas kuiz minggu lepas. ‘Aku dapat 6/10 je? Mana yang aku silap ni sebenarnya?’ hatinya berkata-kata sambil mata meliar memandang kertas rakannya di sebelah. Dia tidak teragak-agak bertanya rakannya di bahagian manakah yang dia salah. ‘Ermmm. Inilah aku! Seorang yang cuai.’ Dia merungut pula. Sepanjang kelas dia tidak dapat memberi komitmen 100%. Hampir semua soalan yang dikemukakan oleh pensyarah tidak boleh dijawab. Dia merungut lagi. ‘Apa kena dengan aku ni?’
Selepas kelas tamat, dia membuat perbincangan bersama rakan kumpulannya yang lain. Hampir semua soalan juga dia tidak boleh selesaikan. ‘Apa kena dengan aku ni?’ dia merungut lagi. Habis perbincangan, langkahnya laju diatur munuju ke bank. 1 masalah telah selesai. Kemudian dia pulang ke bilik. ‘Alhamdulillah ada bas! Tak payah aku jalan kaki balik ke kolej.’ Hatinya lonjak kegirangan. Petangnya pula ada aktiviti yang lain. Dia kepenatan.
Assignment yang belum disiapkan malam tadi belum di email ke pensyarah. Latihan belum dibuat. Makan malam tak beli lagi dan banyak lagilah hal-hal yang belum selesai. Dia menjadi tension! Setelah masuk solat Asar dia pun mengambil wuduk. Selesai menunaikan solat fardhu itu, dia pun menadah tangan memohon keampunan sambil menitiskan air mata. Tangisnya bersangatan.
“Ya Allah Ya Tuhanku. Ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua orang tuaku, dosa guru-guruku, dosa adik-beradikku, dosa rakan-rakanku, serta muslimin dan muslimat sekalian. Ya Allah kenapa aku rasakan hari ini penat bagiku. Mudahkanlah Ya Allah! Aku bermohon kepadaMU. Aku tahu Kau mendengar luahanku ini. Aku tahu Kau sentiasa bersamaku. Mudahkanlah segala urusanku selepas ini. Jika ini adalah petanda daripadaMU kerana aku sering melupakanMU maka Kau ampunilah aku Ya Allah. Ampunilah aku Ya Allah! Semoga segala ilmu yang aku dapat selepas mudah masuk ke dalam dada. Jadikanlah aku hambaMU yang selalu bersyukur. Janganlah Kau tarik nikmat Islam dan nikmat-nikmat yang lain Ya Allah. Janganlah Kau tarik hidayah yang telah Kau berikan kepadaku!”
Doanya diakhiri dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sambil berdoa, air matanya terus-terusan jatuh ke tapak tangan. Entah mengapa dia merasakan Allah sangat dekat dengannya tatkala itu. Seperti berada di hadapannya. Dan dia tahu, Allah akan sentiasa menemaninya tatkala dia sedih ataupun gembira! Dan Alhamdulillah, dia berasa ringan dan segala urusannya dimudahkan sebaik saja dia habis melafazkan doa. Dia percaya Allah itu memang ada bersamanya tadi…..
Nurkilanku

No comments:
Post a Comment